Sunday, June 15, 2008

Sejam di Entikong, Kalimantan Barat, Indonesia

Dalam banyak-banyak lawatan ke negara orang, rasanya yang sekali ini merupakan yang paling singkat, paling murah, dan paling 'kurang kerja' pernah aku lakukan. Kebetulan pada hari Ahad, 8 Jun 2008 merupakan cuti hujung minggu yang agak 'membosankan'. Maklumlah, seminggu sebelum tu aku dan Redza dah merasakan pengalaman mencabar (13 jam drive dari Kuching ke Miri). Jadi aku pun capai kunci kereta, dan terus menuju ke pekan Tebedu. Pekan ini terletak dalam bahagian Serian, Sarawak dan ianya merupakan sempadan antara Malaysia - Indonesia. Perjalanan dari Jalan Song hanya mengambil masa lebih kurang 35 minit.

Niat aku ke sana hanyalah untuk melihat apa yang ada di sana dan dengan adanya pasport di tangan, aku merancang untuk ke Entikong, Kalimantan Barat. Daripada gerbang sempadan aku hanya berjalan kaki ke Entikong memandangkan kereta aku tinggalkan di kawasan tempat letak kereta di Tebedu. Maklumlah, kereta sewa, jadi tak boleh digunakan melintas sempadan sesuka hati... Setibanya aku di Entikong, aku pun menukar duit. RM50.00 dapat kira-kira Rp.120,000. Cukuplah tu. Bukan nak buat belanja besar pun.

Pos Pemeriksaan Lintas Batas Entikong (4.07 pm)
Daripada pintu sempadan ke pekan hanya lebih kurang sejauh 300 meter sahaja. Memandangkan aku terlupa membawa bersama kamera digital bersama, kamera handphone pun jadilah. Tiada pemandangan boleh dirakam memandangkan resolusi kamera yang kecil, sure gambar pecah nanti. So aku ambil gambar-gambar signboard sajalah.

Taatilah Peraturan Lalu Lintas - KALBAR adalah singkatan Kalimantan Barat (4.19 pm)
Sampai saja ke pekan kecil Entikong, aku pergi ke bazar tempat peniaga-peniaga menjual cenderahati seperti t-shirt, kain samarinda dan bermacam-macam lagi. Memandangkan semuanya sama saja seperti yang terdapat di Kuching, aku langsung tak terniat nak beli. Cukuplah sekadar melihat. Peniaga-peniaga di sana sangat memahami dan tidak memaksa aku untuk membeli.

Setelah hampir 15 minit di situ, aku pun menyeberang jalan menuju ke sebuah warung makan yang menjual Nasi Padang. Silap aku terlupa nak ambil gambar kedai memandangkan aku kelaparan ketika itu. Sedap jugak Nasi Padang yang dihidangkan. Di warung tersebut terhidang juga air botol 'AQUA' yang dijual dengan harga Rp.5,000 (kira-kira RM2.00). Malangnya aku cuma boleh beli dan minum di situ. Tak boleh bawa pulang botol kaca yang unik itu. Selesai makan, aku membayar Rp.15,000 (kira-kira RM6.00), boleh dikatakan murah juga Nasi Padang di sini.

Selesai makan, aku pun berjalan kaki kembali menuju sempadan Indonesia - Malaysia. Tak sangka sejam aku berada di Indonesia. Sempat aku ambil gambar satu papan tanda sebelum sampai ke gerbang sempadan.

Aku Pelintas Batas (5.05pm)
Setibanya aku di pintu sempadan, sebelum aku menyerahkan pasport kepada pegawai imigresen, aku sempat lagi menukar kembali baki duit rupiah yang tinggal. Dapatlah sekitar RM30.00, jadilah tu. Selepas pasportku dicop keluar, aku pun melalui pintu keluar menuju ke Malaysia.

Pintu keluar menuju ke Malaysia (5.06 pm)